‘Kami ada rekod anda’, Nga beri amaran peserta festival air buang sampah

‘Kami ada rekod anda’, Nga beri amaran peserta festival air buang sampah

Menteri Nga Kor Ming berkata individu buang sampah merata-rata akan dikompaun RM2,000 dan khidmat masyarakat 12 jam.

pembersihan selepas rain rave water
Nga Kor Ming hargai usaha petugas (SWCorp) membersihkan persekitaran lokasi penganjuran KL Rain Rave Musical Festival 2026. (Gambar Facebook Nga Kor Ming)
PETALING JAYA:
Kompaun RM2,000 dan khidmat masyarakat 12 jam menanti peserta KL Rain Rave Musical Festival 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang dikesan membuang sampah merata-rata.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya mempunyai rekod individu terbabit dan tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan mengotorkan persekitaran sepanjang tiga hari program terbabit.

“Maaf, kami mempunyai rekod anda dan tindakan akan diambil.

“‘Tahniah’, kompaun RM2,000 serta 12 jam khidmat masyarakat sedang menanti anda,” katanya di Facebook.

Nga turut menyampaikan penghargaan terhadap terhadap kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang bertungkus-lumus membantu menyapu dan membersihkan jalan persekitaran selepas acara mega itu.

“Wira-wira yang tidak didendang ini wajar dipuji.

“Kami tabik dan menghargai anda kerana membantu memastikan bandar kita kekal bersih,” katanya.

Rain Rave Water Music Festival dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame, sebuah syarikat inovasi jenama, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bagaimanapun ia menerima bantahan daripada pelbagai pihak, dengan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata ia tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan mengapa ia tidak dibatalkan di bawah langkah penjimatan kerajaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mempersoalkan kritikan tidak konsisten pihak tertentu terhadap penganjuran festival itu, dengan merujuk acara serupa pernah diadakan di Kedah yang ditadbir PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.