1,200 pelajar asnaf terima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime

1,200 pelajar asnaf terima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime

Sumbangan itu disalurkan menerusi program kerjasama Uda Holdings Berhad dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Norliza Abdul Rahim (lima dari kanan) bersama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Samsuri Abdullah (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan UDA Holdings Berhad Farizul Zainudin bergambar bersama penerima sumbangan Program Sinar Kasih UDA Cares – PTPTN (SAKURA). (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan UDA Holdings Berhad menyalurkan sumbangan RM240,000 kepada 1,200 pelajar asnaf menerusi Program Sinar Kasih UDA Cares – PTPTN (SAKURA).

Sumbangan wakalah zakat itu disalurkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime penerima, membabitkan pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih di seluruh negara.

Setiap pelajar menerima RM200 menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, yang menjadi kesinambungan kerjasama strategik antara PTPTN dan UDA sejak 2024.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim.

Norliza berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban pelajar serta meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi tumpuan kepada pembelajaran.

“Majlis ini mencerminkan sinergi kukuh antara PTPTN dan UDA Holdings Berhad dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara serta memperluas budaya prihatin dan menabung dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru agensi kerajaan dan swasta supaya bersama-sama menyokong usaha membudayakan amalan menabung, khususnya bagi tujuan pendidikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Ahmad Fuaad Kenali berkata Program SAKURA diharap dapat menyokong pembangunan insan lebih seimbang.

“Selain itu dapat menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.

Simpan SSPN diperkenalkan sebagai instrumen simpanan pendidikan, dengan pelbagai manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.

Selain itu perlindungan takaful percuma, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Pada Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluas kriteria Geran Sepadan Simpan SSPN Prime kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 untuk tempoh dua tahun bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

Menerusi inisiatif itu, pendeposit layak boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.