Bekas pengarah air Sabah bersalah kes pengubahan wang haram, isteri dibebaskan

Bekas pengarah air Sabah bersalah kes pengubahan wang haram, isteri dibebaskan

Mahkamah Sesyen turut membebaskan bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 72, daripada pertuduhan sama.

Ag Mohd Tahir Talib
Bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Talib, didakwa atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Talib, didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram, dalam satu daripada kes rasuah terbesar pernah berlaku di Sabah.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membebaskan isterinya, Fauziah Piut, 61, serta bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 72, daripada pertuduhan sama, lapor Sabah Media.

Hakim Abu Bakar Manat memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Tahir melampaui keraguan munasabah.

Pada 2019, Tahir, Fauziah dan Lim didakwa secara bersama atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah.

Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah berdepan 19 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pasangan itu turut didakwa bersama atas dua pertuduhan, sementara Tahir berdepan satu lagi pertuduhan berasingan.

Kesalahan itu dikatakan berlaku di Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Okt hingga 4 Nov 2016.

Lim pula, yang berdepan empat pertuduhan, didakwa memiliki wang tunai berjumlah RM2.38 juta antara 13 Okt hingga 8 Nov 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.