Penganalisis jangka Rafizi, Bersama tak akan serang PH habis-habisan

Penganalisis jangka Rafizi, Bersama tak akan serang PH habis-habisan

Pemerhati politik jangka Rafizi Ramli dan sekutunya akan mengekalkan hubungan baik dengan DAP, sambil tumpu kepada pemimpin tertentu PKR.

Rafizi Ramli Nik Nazmi Nik Ahmad
Walaupun berbeza pandangan dengan Anwar Ibrahim, penganalisis percaya Rafizi Ramli tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan demi mencapai matlamat yang sama.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menjangkakan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dan parti baharunya, Parti Bersama Malaysia (Bersama), tidak akan menyerang Pakatan Harapan (PH) secara menyeluruh walaupun penubuhnnya untuk mencabar gabungan berkenaan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia dan Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Bersama berkemungkinan menyasarkan pemimpin tertentu, bukannya melancarkan kempen besar-besaran anti-PH.

Syaza berkata parti itu juga dijangka mengekalkan hubungan baik khususnya dengan DAP, memandangkan parti komponen PH itu lantang menuntut agenda reformasi, terutama selepas kekalahan teruknya pada PRN Sabah November lalu.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

Walaupun Rafizi bermusuhan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Syaza berkata Bersama dilihat berteraskan reformasi dan lebih sehaluan dengan dasar PH berbanding ideologi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Atas sebab itu beliau percaya Bersama dan Rafizi lebih berkemungkinan kembali bekerjasama dengan PH berbanding parti lain selepas pilihan raya, sekiranya mereka memenangi kerusi.

“Adakah mereka akan bekerjasama dengan PN selepas pilihan raya? Saya tidak fikir begitu. Saya rasa mereka akan ikut jejak Muda, berada di blok pembangkang tetapi menyokong dasar PH jika selari dengan pendirian mereka.

“Saya melihat Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai pemimpin pragmatik yang sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berkongsi visi mereka,” katanya kepada FMT.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Fauzi pula menjangka parti itu akan menyasarkan pemimpin tertentu yang dilihat rapat dengan Anwar, seperti Naib Presiden PKR R Ramanan, yang pernah diserang Rafizi ketika beliau masih dalam PKR.

Beliau percaya matlamat terdekat Bersama, lebih daripada perkara lain, ialah menghalang Anwar daripada mendapat penggal kedua sebagai perdana menteri.

Katanya, parti itu akan cuba menggambarkan Anwar sebagai reformis yang teragak-agak dalam melaksanakan perubahan.

“Untuk kelangsungan politik jangka panjang, Bersama mungkin berharap tokoh-tokoh yang bersimpati dari PKR, Amanah dan DAP menyertai parti itu. Contohnya Akmal Nasir, yang hubungannya dengan Rafizi dan Nik Nazmi dapat dikaitkan dengan latar belakang mereka di Kolej Melayu Kuala Kangsar.”

Rafizi pada Isnin berkata mereka yang memilih untuk keluar atau kekal dalam PKR tidak seharusnya menganggap satu sama lain sebagai musuh kerana beliau tidak mahu tindakannya menyertai Bersama dilihat sebagai pertarungan menang-kalah.

Bekas menteri ekonomi itu berkata beliau masih mempunyai ramai rakan dalam PKR dan tidak akan mengambil hati sekiranya mereka memilih untuk kekal bersama parti itu.

Namun, katanya, Bersama menyasarkan kelompok pengundi yang sama dengan teras sokongan PH, iaitu pengundi berfikiran progresif.

Bersama bawa cita-cita ‘utopia’

Fauzi berkata Bersama tidak mungkin menjalin kerjasama dengan PN walaupun kedua-duanya menentang Anwar.

Beliau merujuk kepada ideologi Rafizi dan Nik Nazmi yang disifatkannya sebagai idealistik serta sangat bertentangan dengan pendirian PN.

“Ini parti yang mengejar cita-cita utopia, bukan parti yang mahu membentuk kerajaan berdasarkan realiti sebenar kehidupan rakyat Malaysia,” katanya merujuk agenda besar Bersama yang diterbitkan di laman web parti itu.

“Sebagai contoh, untuk mencapai nisbah doktor kepada penduduk 1:300, mereka mungkin perlu membenarkan doktor asing masuk. Tetapi ini bercanggah dengan cadangan mereka sendiri untuk mengehadkan warga asing kepada hanya 5% daripada tenaga kerja negara.

“Dengan kecenderungan Muhyiddin Yassin yang mengutamakan Melayu, kerjasama antara PN dan Bersama yang jelas berbilang kaum amat tidak mungkin berlaku,” tambah Fauzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.