Ahli Parlimen Ampang tolak gesaan letak jawatan

Ahli Parlimen Ampang tolak gesaan letak jawatan

Rodziah Ismail berkata, perkara yang lebih penting ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negara.

Rodziah Ismail
Ahli Parlimen PKR, Rodziah Ismail berkata, beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat di kawasannya kerana beliau tidak akan sesekali khianati mandat amanah pengundi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PKR Rodziah Ismail menolak gesaan supaya beliau meletak jawatan memandangkan beliau mempunyai hubungan rapat dengan Rafizi Ramli, yang mengumumkan keluar parti semalam.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat di kawasannya kerana beliau tidak akan sesekali mengkhianati mandat yang diamanahkan oleh pengundi.

Tambahnya, perbezaan pandangan atau tindakan membangkitkan persoalan tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai tidak setia atau pengkhianatan, sebaliknya demokrasi yang matang menuntut perbezaan diuruskan dengan penuh hikmah.

“Apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negara terus dipelihara agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan rakyat serta memastikan kebajikan rakyat tidak terabai akibat ketegangan politik yang berpanjangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian susulan gesaan oleh Timbalan Ketua PKR Ampang Daing Reduan Bachok agar Rodziah mengosongkan kerusi Parlimennya selepas beliau dilihat tampil bersama Rafizi ketika pengumuman pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (Bersama) semalam.

Selain Rodziah, lima lagi Ahli Parlimen PKR turut hadir pada majlis tersebut, iaitu Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mereka akan mengambil alih Bersama bagi merangka hala tuju politik baharu untuk diri mereka dan para penyokong.

Mereka turut mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen Pandan (Rafizi) dan Setiawangsa (Nik Nazmi), selain keluar parti.

Sementara itu, Zahir menjelaskan beliau hadir ke program Rafizi atas undangan sahabat.

Zahir juga menegaskan beliau kekal komited dalam menjalankan tanggungjawab saya sepenuhnya kepada pengundi dan rakyat Parlimen Wangsa Maju.

“Saya menghormati keputusan mereka untuk mengosongkan kerusi parlimen masing-masing berkuat kuasa hari ini, serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat berkuat kuasa esok,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.